SUKAN LAIN
Skuasy Remaja Asia: Aifa dambakan gelaran juara
Jaguh skuasy remaja negara, Aifa Azman, bertekad terus memberi tumpuan untuk mengekalkan konsistensi dalam Kejohanan Individu Remaja Asia 2019 di Macau bermula 25 Jun ini.
Aifa menetapkan misi untuk memperbaiki kedudukan ranking remajanya yang ketika ini berada di tangga ke-25 dunia.
Namun, pemain berusia 19 tahun itu ingin menumpukan lebih perhatian kepada kejohanan remaja berbanding saingan senior anjuran Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) musim ini apabila hanya menyertai dua kejohanan senior tahun ini.
Iklan
"Saya sasar ke final Kejohanan Remaja Asia dan amat mengidamkan gelarannya.
"Saya masih ada semusim lagi untuk bersaing di peringkat remaja, jadi lebih baik saya memberi tumpuan kepada kancah ini," ujarnya.
Dalam masa sama, Juara Terbuka Remaja British 2018 itu dalam persiapan memburu gelaran remaja dunia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, dari 30 Julai hingga 9 Ogos depan.
"Saya akan menghadapi tentangan daripada rakan-rakan dalam kem negara.
"Saya telah memenangi kesemua gelaran dalam kategori remaja dan kali ini saya mahu melengkapkannya dengan gelaran remaja dunia," ujarnya.
Must-Watch Video