Skip to main content

Sukan Asia

Skuasy: Peluang Nicol muncul atlet negara paling berjaya

nicol-david-2.jpg
Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, bakal membuat penampilan pertama dalam tempoh 21 tahun di Jakarta sambil diiringi laluan mudah acara perseorangan yang menyaksikan dia berpeluang melebarkan rekod sebagai atlet Malaysia paling berjaya dalam sejarah Sukan Asia dengan enam pingat emas setakat ini.

Jaguh berusia 35 tahun ini mendapat undian mudah dalam perseorangan menerusi laluan percuma pusingan pertama yang bermula esok sambil menunggu lawan dari Mongolia atau China dalam pusingan kedua di Pusat Skuasy Gelora Bung Karno.

Jika segalanya berjalan lancar, pemain ranking kesembilan dunia itu dijangka berdepan pemain ranking ke-11 dunia dari Hong Kong, Annie Au, dalam final. 

"Latihan di sini berlangsung dengan baik dan saya berpendapat bahawa apabila penonton mula hadir, ia akan menjadi suasana yang menarik di Jakarta. 

"Kali terakhir saya di sini adalah semasa beraksi dalam Sukan SEA 1997," kata Nicol.

Selain perseorangan, Nicol akan cuba mempertahankan emas berpasukan wanita yang dimenangi di Incheon, Korea Selatan, empat tahun lalu.

Malaysia turut diwakili Low Wee Wern, S. Sivasangari dan Aifa Azman dalam berpasukan wanita.

"Saya berharap dapat mengiringi Nicol dalam final. Bagaimanapun, saya akan menghadapi saingan selangkah demi selangkah dan memberi fokus sebaik sahaja saingan bermula," kata Sivasangari. 

 

Advertisement

Must Watch Video