Skip to main content

Sukan Asia

Skuasy: Nafiizwan tutup saingan lelaki dengan gangsa

nafii.jpg
Hasrat untuk melihat seorang lagi wakil negara dalam skuasy individu lelaki, Nafiizwan Mohd Adnan, mengikut jejak Datuk Nicol David dan S. Sivasangari ke pentas final tidak berlaku apabila dia tewas 2-3 di tangan pemain Hong Kong, Lee Ho Yin, di peringkat separuh akhir, hari ini. 

Nafiizwan bermula dengan baik apabila mudah memastikan kemenangan ke atas Ho Yin dalam saingan set pertama menerusi kemenangan 11-5 dan 11-6 dalam set kedua.

Bagaimanapun, kebangkitan Ho Yin dalam set ketiga umpama petanda bahawa Nafiizwan bakal terlepas slot final menerusi kekalahan 5-11.

Mula kepenatan, Nafiizwan semakin sukar menguasai set keempat ketika Ho Yin semakin yakin mengorak langkah untuk mencetak kemenangan 11-5.

Ada usaha Nafiizwan untuk bangkit tetapi kegagalan terus memihak kepadanya menerusi kekalahan 9-11.

"Cara permainan saya kini lain, di mana ada kekuatan daripada segi pukulan dan menyebabkan lawan keliru.

"Itu membuatkan saya rasa gembira tetapi saya tidak boleh melakukan apa-apa dengan keputusan yang diraih," katanya yang akan membawa pulang pingat gangsa. 

Apapun, ini merupakan pencapaian terbaik Nafiizwan di pentas Sukan Asia selepas terkandas dalam suku akhir di Incheon, Korea Selatan, empat tahun lalu. 

"Saya tidak gemar bercakap mengenai apa yang akan dilakukan. Saya juga tidak memberikan mata mudah buat lawan, jadi ia harus dipelajari," tambahnya. 

Advertisement

Must Watch Video