Skip to main content

Sukan Lain

Skuasy Berpasukan Remaja Dunia: Mesir muncul juara

skuasy-wanita-remaja-2019.jpg
Hasrat skuad wanita negara untuk merangkul emas tidak kesampaian selepas tunduk kepada Mesir dalam aksi final Kejohanan Skuasy Berpasukan Remaja Dunia 2019 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Aifa Azman turun dengan sasaran untuk menebus kekecewaan berikutan tumpas kepada pemain Mesir, Hania El Hammamy, dalam saingan individu sebelum ini.

Bagaimanapun, juara remaja itu tidak memberikan laluan mudah apabila berjaya membaca permainan Aifa dalam set pertama untuk memberikan mata pertama buat Mesir menerusi kemenangan 6-11, 11-6, 11-9, 11-3.

Kedudukan itu memberi tekanan buat Noor Ainaa Ampandi yang perlu mematahkan cabaran Farida Mohamed.

Tekanan itu, bagaimanapun, berjaya menghasilkan permainan menarik daripada Ainaa yang mula mendapat rentak dalam set kedua sebelum lawan di ranking ke-196 dunia itu kembali mengimbangi mata dalam set keempat.

Namun, konsistensi yang dipamerkan Farida sudah cukup untuk menafikan kemenangan Ainaa apabila melakar kejayaan 9-11, 11-8, 11-4, 9-11, 4-11.

Keputusan tersebut sudah cukup untuk menjulang Mesir selaku juara berpasukan wanita edisi 2019.

"Ia merupakan perlawanan yang lebih sukar berbanding semalam. Namun, saya mengalami kecederaan lutut dan cuba bersaing hingga tamat perlawanan," kata Aifa.

"Ini merupakan kali pertama saya bersaing dalam Kejohanan Remaja Dunia dan perlawanan final. Saya bermula goyah dan cuba bangkit ketika berdepan Farida. Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan prestasi saya," kata Ainaa pula.

Sementara itu, jurulatih skuasy remaja negara, Andrew Cross, menyedari masih banyak ruang yang boleh diperbaiki anak didiknya, namun tetap puas hati dengan corak permainan mereka sepanjang kejohanan itu.

Andrew menggesa barisan pemain remaja kebangsaan menumpukan perhatian terhadap mengumpul mata bagi melonjakkan ranking dunia masing-masing. 

"Kedua-dua pemain negara telah bermain dengan baik dalam aksi final. Saya sangat gembira dengan persembahan mereka dan kini perlu menumpukan kepada usaha untuk mempertingkatkan lagi ranking dunia," katanya.

Advertisement

Must Watch Video