Skip to main content

Sukan Lain

Skuasy Berpasukan Remaja Dunia: Aifa berhempas-pulas bawa Malaysia ke final

aifa-azman-skuasy.jpg
Kemenangan penuh dramatik Aifa Azman dalam aksi lima set memastikan Malaysia melangkah ke final Kejohanan Skuasy Berpasukan Remaja Dunia 2019 selepas menundukkan Hong Kong 2-0 dalam aksi separuh akhir di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi. 

Lebih manis lagi, kejayaan itu turut menyaksikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli bagi memberikan sokongan.  

Juara Remaja Terbuka Britain tiga kali itu dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan Chan Sai Yuk 11-2, 6-11, 14-12, 13-15, 11-9.

Apa pun, Aifa enggan menggunakan faktor kepenatan daripada saingan sengit Hong Kong sebagai alasan untuk tidak menumbangkan Mesir dalam aksi final, esok. 

"Saya pasti pihak lawan tidak akan mudah berputus asa esok. 

"Jadi saya merancang untuk menggunakan pukulan kilas dengan lebih banyak," katanya. 

Terdahulu, Chan Yiwen mudah menundukkan seteru, Kristie Po, 11-2, 11-3, 11-0 untuk memastikan Malaysia 1-0 di depan.  

Dalam pada itu, pengendali skuad remaja negara, Andrew Cross, menyifatkan kerja keras anak buahnya untuk menyingkirkan Hong Kong sebagai membanggakan sambil berharap momentum sama mampu dikekalkan dalam final.

"Pujian harus diberikan kepada Aifa. Walaupun bergelut dalam set kelima, dia memang tidak mudah putus asa. 

"Ia harus diteladani oleh pemain lain," kata jurulatih itu. 

 

Advertisement

Must Watch Video