Skip to main content

Hoki

Skuad hoki wanita sesuaikan diri latihan awal pagi

dhaarma-raj-310517.jpg
Jurulatih hoki wanita negara, Mohammad Dhaarma Raj Abdullah, memberikan tempoh selama seminggu sebelum mengambil kira pandangan pemainnya berhubung sesi latihan jam 3.30 pagi yang bermula pada hari pertama sambutan Ramadan lalu.

Ternyata ia bukan perkara mudah untuk skuad negara yang perlu memenuhi pelan latihan pada jam 3.30 pagi sepanjang berpuasa.

Baru melewati hari keempat, Dhaarma sendiri mengakui kepenatan yang luar biasa, apatah lagi setiap pemainnya yang perlu memerah keringat dalam setiap sesi latihan.

"Saya sendiri pun berasa sukar pada awal pagi ini. 

"Tetapi, bagi pemain mungkin lebih sukar kerana mereka yang akan beraksi. 

"Kalau bermain di luar negara nanti, kami akan mengalami keletihan penerbangan yang jauh. Jadi, kami terpaksa membiasakan diri. 

"Jika kami dapat membiasakan diri dalam tempoh seminggu ini, mungkin selepas itu kami sudah dapat membiasakan diri. 

"Pendekatan ini akan membantu kami ketika di Eropah nanti," katanya. 

Justeru, bagi minggu pertama, Dhaarma menganggap ia sebagai tempoh percubaan jika situasi itu berjaya diatasi anak buahnya.

Sesi latihan awal pagi itu akan diteruskan namun jika sebaliknya, jadual latihan skuad hoki wanita akan kembali kepada masa asal.

"Saya sudah berbincang dengan pemain-pemain mengenai sesi latihan harian pertama pada jam 10.30 malam yang selalunya berakhir sekitar jam 12 tengah malam.

"Saya faham, mereka menghadapi sedikit kesukaran kerana perlu datang semula menjalani latihan pada 3.30 pagi. 

"Oleh itu, kami memutuskan untuk memberikan tempoh selama seminggu ini untuk membiasakan diri sebelum memutuskan sama ada akan meneruskan jadual seperti ini."

Skuad hoki wanita negara dalam persediaan terbaik mereka bagi berhadapan kelayakan Liga Hoki Dunia pusingan ketiga di Belgium, bulan hadapan.

Advertisement

Must Watch Video