Skip to main content

Hoki

Skuad hoki lelaki lonjak satu anak tangga

roelant-oltmans.jpg
Peningkatan ranking skuad hoki negara di tangga ke-12 dunia meningkatkan keyakinan ketua jurulatih, Roelant Oltmans, untuk membentuk pasukan lebih baik sempena play-off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, November depan.

Pengumuman Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) itu menyaksikan ranking Malaysia melonjak satu anak tangga untuk menghidupkan impian menyambar tiket ke pusingan akhir Sukan Olimpik 2020. 

Bagaimanapun, skuad kebangsaan tidak boleh berasa selesa menjelang Jelajah Eropah, bulan depan, yang mungkin menjejaskan kedudukan skuad kebangsaan. 

"Saya masih berasa kesal kerana ranking kami tidak melonjak lebih tinggi lagi berikutan gagal mengatasi Kanada (dalam Pusingan Akhir Siri FIH 2019 di Kuala Lumpur, Mei lalu).

"Kami mahu terus memandang ke depan dan peningkatan ranking ini memberi galakan kepada pemain.

"Saya pasti sebaik semua benua menamatkan proses kelayakan Sukan Olimpik 2020, ranking kami akan bertambah baik.

"Kami menyasarkan untuk berada di kedudukan lapan terbaik" kata pengendali dari Belanda itu. 

Sementara itu, pemain negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil dan Syed Syafiq Syed Cholan, ingin memanfaatkan peluang berlatih bersama bekas pemain hoki kebangsaan Australia, Michael McCann, selama seminggu.

"Kami mahu memanfaatkan kehadirannya dengan menerapkannya dalam latihan selepas ini kerana kami telah merakam teknik latihannya dan akan teruskannya," kata Tengku Ahmad Tajuddin.

Syed Syafiq juga tidak mahu melepaskan peluang itu untuk mengasah sentuhannya.

"Kami tampak tumpul dalam perlawanan sebelum ini walaupun mencipta banyak peluang. 

"Saya harap kehadirannya boleh membantu bahagian serangan negara," katanya. 
 

Advertisement

Must Watch Video