Skip to main content

Hoki

Skuad hoki bakal hadapi tiga aksi pemanas badan

van-huizen.jpg
Ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen van Huizen, merancang aksi persahabatan ketiga menentang Wales menjelang separuh akhir Liga Dunia di London sebelum Malaysia memulakan kempen buru tiket ke Piala Dunia 2018.

Aksi persahabatan di London penting sebagai persiapan terakhir sebelum memulakan kempen separuh akhir Liga Dunia.

Setakat ini, Malaysia sah akan menguji Kanada dan skuad pembangunan England.

Begitupun, The Malaysian Hockey Tigers mahukan lebih perlawanan dan pihak pengurusan sedang berusaha mendapatkan persetujuan Wales, pasukan yang menghuni ranking ke-32 dunia.

"Kami sedang merangka tiga perlawanan persahabatan. Dua sudah disahkan tetapi masih menanti persetujuan untuk pasukan ketiga. 

"Mungkin kami akan menjalani tiga perlawanan persahabatan sebelum beraksi dalam Liga Dunia," kata Van Huizen.

Skuad hoki negara menyambung semula sesi latihan selepas meraih kedudukan kelima dalam Piala Sultan Azlan Shah, hujung bulan lalu.

Pemain negara menjalani  dua sesi latihan dalam sehari yang dipecahkan kepada latihan kecergasan pada waktu pagi dan sesi latihan padang pada sebelah petang.

Malaysia dijadualkan berlepas ke London, 7 Jun ini, dan telah diundi dalam Kumpulan A bersama pasukan ranking pertama dunia, Argentina, diikuti England, China dan Korea Selatan.

Advertisement

Must Watch Video