SUKAN LAIN
Skuad hoki ais akhiri kempen dengan rekod bersih
Skuad hoki ais Malaysia muncul juara keseluruhan Kejohanan Hoki Ais Piala Cabaran Asia B-20 selepas menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 7-2 dalam perlawanan terakhir, malam ini.
Pasukan negara cemerlang untuk mengekalkan rekod bersih tanpa kalah sepanjang empat perlawanan dalam saingan itu.
Seawal minit ke-10 perlawanan, Malaysia tiada masalah untuk mendahului menerusi Mohamad Hariz Oryza Ananda yang berjaya mengatasi penjaga gol UAE.
Iklan
Bagaimanapun, ia tidak bertahan lama apabila UAE berjaya menyamakan kedudukan menerusi Mohamed Almehairbi sebelum tamat suku pertama.
Bersambung babak kedua, skuad negara bimbingan Kristof Kovago itu kembali di depan apabila ketua pasukan, Bryan Lee Chee Ming, meledak gol kedua.
Malaysia terus menghukum pasukan lawan apabila UAE gagal menghalang asakan untuk Hariz sekali lagi menjaringkan gol ketiga sebelum Mohammad Aweel Nor Hisham menambah jaringan keempat tuan rumah, berselang lima minit.
Pada suku terakhir perlawanan, UAE terus tertekan selepas Adris Ikmal Abdul Razak meledak gol kelima Malaysia pada minit ke-45.
Sebelum perlawanan berakhir, Hariz dan Bryan berjaya menjaringkan dua gol lagi untuk terus memerangkap lawan.
"Secara keseluruhan, kami menampilkan aksi menarik dalam setiap perlawanan.
"Inilah corak permainan yang ingin dilihat peminat di negara ini supaya orang boleh melihat sukan ini dan secara tidak langsung, meningkatkan peluang penajaan dan lebih ramai pemain berbakat akan tampil," kata Kovago.
Must-Watch Video