SUKAN LAIN
Skuad berbasikal lebuh raya tanpa tonggak berpengalaman
Skuad berbasikal lebuh raya negara terpaksa melupakan khidmat Nik Azwan Zulkifli dalam Kejohanan Berbasikal Tour of Iskandar, Johor, yang bermula lusa kerana pelumba itu akan menggalas cabaran dalam Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2019 di Uzbekistan, 22 April ini.
Skuad kebangsaan hanya sempat berehat selama tiga hari selepas muncul pasukan kedua terbaik Asia dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) yang berakhir kelmarin.
Tiga pelumba LTdL 2019 dikekalkan dalam Tour of Iskandar, iaitu Sofian Nabil Omar Bakri, Nurfitri Amar Rosli dan Shamir Aiman Abdul Halim.
Iklan
Khidmat Nik Azwan yang memainkan peranan penting dalam LTdL terpaksa dilupakan kerana dia perlu menyertai acara ujian masa individu dan berpasukan dalam ACC 2019.
"Kami agak bergelut juga untuk membuat keputusan ini. Ini kerana Nik Azwan seorang pelumba paling berpengalaman dalam skuad kebangsaan.
"Tetapi dengan keadaan pelumba-pelumba negara masih agak keletihan selepas mengikuti LTdL 2019, maka kami melantik Sofian Nabil sebagai ketua pasukan.
"Saya harap dia dan rakan sepasukannya yang lain dapat memberikan persembahan terbaik," kata jurulatih, Mohd Yusof Abd Nasir.
Edisi pertama Tour of Iskandar hanya membabitkan tiga peringkat perlumbaan ekoran masalah dana.
Must-Watch Video