SUKAN LAIN
Sivasangari tuntut kebangkitan skuad skuasy berpasukan wanita di China
Pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari, mengidamkan aksi yang lebih garang dalam Kejohanan Berpasukan Wanita Dunia di Dalian, China, bermula 11 September ini untuk sekurang-kurangnya menebus kekecewaan meraih pingat gangsa acara itu dalam Sukan Asia 2018.
Sivasangari bakal ke China pula minggu depan untuk berdepan Kejohanan Berpasukan Wanita Dunia dengan semangat lebih tinggi selepas meraih satu perak dan satu gangsa dalam Sukan Asia yang berakhir Ahad lalu.
Pastinya, pemain muda berusia 19 tahun berkenaan mengharapkan keputusan yang lebih baik mampu dilakar selepas sekadar menamatkan cabaran di tempat keenam dalam edisi 2016 di Perancis.
Iklan
"Prestasi skuad berpasukan wanita tidak menentu, ia berlaku dalam apa jua sukan.
"Saya harap kami dapat bangkit lebih mantap dalam Kejohanan Berpasukan Dunia dan mempersembahkan aksi yang lebih baik," katanya.
Sivasangari melalui pengalaman paling manis apabila berdepan ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, dalam aksi final individu wanita temasya Jakarta-Palembang 2018 yang nyata menjadikannya pemain yang lebih matang.
Lebih-lebih lagi selepas Nicol menuntutnya agar berusaha lebih keras untuk meneruskan legasi sukan itu di pentas antarabangsa.
"Peluang berentap dengan Nicol dalam final adalah detik emosional buat saya kerana saya jarang berpeluang untuk menentangnya dalam kejohanan utama.
"Selain itu, kemampuan selaku pemain bukan pilihan yang mara ke suku akhir dan separuh akhir dengan menentang pemain handalan dunia juga membuatkan saya gembira dan kagum," katanya.
Must-Watch Video