SUKAN SEA
Siti Fatimah, Komalam sedia bincang dengan KOM
Pelari pecut negara, Siti Fatimah Mohamad, berdepan dilema untuk kembali mendapatkan sentuhan jurulatih, M. Balamurugan, selepas terpilih menyertai acara 100 dan 4x100m Sukan SEA Filipina 2019, November depan, ekoran pergeseran dua tahun lalu.
Siti Fatimah terpilih mengisi slot kedua 100m wanita berbekalkan catatan terbaik musim ini, 11.91 saat, yang dilakarnya dalam Kejohanan Grand Prix Malaysia (GP), Mac lalu.
Dia akan mengiringi pelari utama, Zaidatul Husniah Zulkifli, yang baru menamatkan program latihan di Amerika Syarikat (AS).
Iklan
Apa yang menarik, mereka juga dijangka bergandingan dalam kuartet 4x100m negara yang dikendalikan Balamurugan, yang berdepan masalah persefahaman dengan pelari berusia 33 tahun itu.
"Saya tidak tahu lagi, terpulang kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
"Buat masa ini, saya mempunyai jurulatih sendiri dan sudah serasi dengan programnya.
"Kami akan berbincang dahulu dengan KOM mengenai perancangan akan datang," katanya.
Selain atlet kelahiran Johor itu, rakan sepelatih, S. Komalam Shally, yang terpilih untuk membarisi kuartet 4x100m negara ke temasya dwitahunan itu, juga berdepan situasi sama apabila enggan mendapatkan sentuhan jurulatih berkenaan, beberapa hari sebelum Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
"Kedudukan kami belum tahu lagi sebab masih menunggu jurulatih yang akan mengambil alih kuartet 4x100m.
"Kami hanya tunggu masa sahaja untuk menjalani latihan," ujar Komalam.
Must-Watch Video