Skuad ragbi 7s negara kekal komited menjalani latihan walaupun difahamkan sejak kebelakangan ini timbul isu tertunggak elaun latihan yang sepatutnya diterima daripada Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).
Mereka ditemui ketika menjalani persiapan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil sempena menghadapi Kejohanan Siri Ragbi Asia 2024 di Bangkok, Thailand, pada hujung minggu depan.
Situasi itu berlaku sejak pusingan pertama kejohanan yang diadakan di Korea Selatan, awal September lalu.
Malah, skuad itu dijanjikan untuk diberikan elaun tersebut sehingga berakhirnya kempen kejohanan iaitu hujung bulan ini.
Namun, Ketua pasukan ragbi 7s kebangsaan, Muhammad Azwan Zuwairi, bertekad mencurahkan segala kudrat dalam aksi terakhir itu kelak.
"Saya jarang bersama pasukan kerana baru sahaja pulih daripada kecederaan serta terlepas dua siri kejohanan sebelum ini.
"Untuk sekarang, persiapan pasukan apabila kerap menjalani latihan memberi maklum balas positif.
"Misi utama kami adalah untuk menduduki empat pasukan terbaik bagi melayakkan diri ke separuh akhir." katanya.
Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan pengesahan daripada pihak KRM tidak kesampaian.
Shaiful Shamsudin
Sat Nov 02 2024