Skip to main content

Hoki

Siri persahabatan: Skuad negara tewas kali ketiga

malaysia-india.jpg
MALAYSIA 0 INDIA 1

Skuad hoki wanita negara mengalami kekalahan ketiga dalam siri perlawanan persahabatan dengan India selepas tewas 0-1 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.


Malaysia tewas 0-3 dalam aksi pertama, Khamis lalu, sebelum dibelasah 0-5 dalam aksi kedua, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, skuad kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu bangkit dalam perlawanan ketiga untuk mengikat India 4-4, kelmarin.

Namun, kekentalan Malaysia untuk mengulangi pencapaian itu dirobek juga pada minit ke-55 menerusi gol padang Lalremsiami.

Malaysia mengimbangi perlawanan sejak dari awal permainan menerusi kekentalan pertahanan yang kerap kali menafikan percubaan India.

India menguji gawang negara seawal minit ketiga menerusi pukulan sudut penalti yang terbias keluar.

Penjaga gol negara, Farah Ayuni Yahya, kembali diuji pada penghujung suku pertama. Mujur dia bertindak pantas untuk menafikan percubaan jarak dekat Sushila Chanu.

Farah Ayuni kekal menjadi penyelamat negara bagi menghalang asakan bertali arus India, termasuk aksi menyelamat berganda dalam suku terakhir.

Bagaimanapun, gawangnya bocor juga tidak lama selepas itu apabila Lalremsiami memanfaatkan hantaran dari tengah padang sebelum melakukan pukulan deras yang cuba ditampan penjaga gol negara itu.

Kedua-dua pasukan akan kembali bertemu di venue sama bagi melengkapkan aksi kelima, petang esok.

"Daripada segi prestasi, saya amat berpuas hati kerana kami masih dapat bertahan sehingga minit ke-55.

"Dalam suku keempat, pemain mula keletihan dan ia menunjukkan mereka masih belum mencapai tahap kecergasan yang diperlukan," kata Dhaarma.

Advertisement

Must Watch Video