Skip to main content

Hoki

Siri Persahabatan: Dhaarma belum puas hati kecergasan pemain

dhaarma-raj.jpg
Pengendali skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah, menganggap tahap kecergasan barisan pemainnya yang kurang memberangsangkan menjadi faktor kekalahan tipis 0-1 mereka dalam perlawanan persahabatan keempat menentang India, malam tadi. 

Jurulatih itu menyuarakan kebimbangan itu dan menganggap anak buahnya bergelut untuk mengekalkan tahap momentum menjelang perlawanan kelima dan yang terakhir dalam siri persahabatan dengan India di Stadium Nasional, Bukit Jalil, petang ini. 

Atas dasar itu, beliau tidak meletakkan sebarang sasaran dalam perlawanan terakhir itu, sebaliknya hanya mengharapkan The Malaysian Tigress mampu mengekalkan jurang jaringan yang tipis. 

Bagaimanapun, Dhaarma berpuas hati dengan prestasi di bahagian pertahanan yang dilihat mempunyai peningkatan apabila hanya dibolosi satu gol berbanding dalam aksi ketiga, Isnin lalu. 

"Pemain saya belum mencapai tahap kecergasan seperti yang diharapkan dalam perlawanan berkualiti seperti hari ini. 

"Kami tidak bermain bagus dalam suku terakhir sehingga memberikan India peluang untuk menjaringkan gol," katanya. 

Sementara itu, ketua pasukan skuad wanita negara, Siti Noor Amarina Ruhani, sudah menjangkakan saingan sengit akan diberikan India selepas membenarkan mereka bangkit untuk mencatat seri 4-4 dalam perlawanan terdahulu. 

"Kami sudah mengurangkan jurang gol dan kami tidak ingin terus kalah. 

"Kami mahu mengutip kemenangan dalam aksi terakhir dengan mengerah segala kudrat.

"Kami tahu matlamat utama kami, iaitu membiasakan diri dengan struktur permainan dan taktikal baru yang diterapkan jurulatih sebagai persediaan kami untuk menghadapi Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki Dunia (di Ireland utara, Jun depan)," katanya. 
 

Advertisement

Must Watch Video