Skip to main content

Sukan SEA

Silat: Zulfazly mahu ikut jejak bapa

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

zulfazly-zulfakar.jpg
Pesilat negara, Zulfazly Zulfakar, ingin mengikuti jejak bapanya, Zulfakar Abdul Majid, yang memenangi pingat emas dalam Sukan SEA Filipina 1991 apabila membuat penampilan sulung dalam edisi 2019 di venue sama, November depan.

Kejayaan bapanya itu menjadi pemangkin buat pesilat berusia 22 tahun berkenaan, yang berazam untuk menghadiahkan Malaysia "pingat kejutan" biarpun tidak diletakkan sebarang harapan.

Atlet kelahiran Johor itu akan beraksi dalam kelas Putra D bagi kategori 60-65 kilogram.

"Saya semestinya nak dapatkan pingat emas.

"Ini yang pertama sebab sebelum ini ayah saya juga pernah menjadi juara dalam Sukan SEA di Manila.

"Sebagai penggantinya, saya nak buat yang terbaik macam ayah saya," katanya.

Bagaimanapun, dia menyedari saingan sengit yang akan dihadapinya dan mengambil inisiatif untuk membuat latihan tambahan pada waktu malam.

"Dalam ketiga-tiga latihan itu (waktu siang), saya akan cuba fokus.

"Saya memang dah mula (berlatih) daripada segi teknik, taktikal dan kecergasan. 

"Selepas tiga latihan itu, saya akan buat latihan tambahan pada waktu malam untuk berada di tahap yang lebih tinggi," tambahnya.

Sebagai rekod, Malaysia tidak dapat menghantar barisan handalan seperti Mohammad Al Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir apabila kategori mereka digugurkan oleh tuan rumah.

Advertisement

Must Watch Video