Skip to main content

Sukan Lain

SIC diminta lantik individu berpengalaman

syedsaddiq2.jpg
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mencadangkan supaya pihak Sepang International Circuit (SIC) melantik komuniti berpengalaman dalam sukan permotoran sebagai anggota lembaga bagi menyelesaikan isu-isu yang  dihadapi industri itu.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata cadangan itu bagi memudahkan pelaksanaan proses pembangunan sukan permotoran daripada semua peringkat, termasuk masalah peruntukan yang diperlukan.

"Cadangan terbaik adalah mewujudkan komuniti atau perwakilan (permotoran) dalam SIC sebagai anggota lembaga supaya akan ada struktur tersendiri untuk membantu mereka yang terlibat dalam industri ini," katanya dalam sidang media Majlis Pelancaran Kejuaraan Mini Cub Prix KBS 2018, hari ini.

Menurut Syed Saddiq, beliau mencadangkan untuk mendengar segala maklum balas dan pandangan daripada orang awam, khususnya komuniti permotoron, dalam membangunkan sukan permotoran tempatan dalam sesi 'townhall' yang dijangka diadakan 2 Oktober depan.

"Saya di sini sebagai jambatan. Saya dengar dan laksanakan apa yang orang ramai mahu. Saya (dan pihak KBS) akan cuba sebaik mungkin untuk membantu," katanya.

Sementara itu, musim perintis bagi Mini Cub Prix KBS akan bermula bulan ini yang merangkumi empat kategori perlumbaan yang bersaing dalam lima pusingan menyasarkan pelumba cilik berumur antara enam hingga 12 tahun.

Empat belas pelumba muda telah dipilih sebagai kumpulan perintis dalam kategori Mini Cub Prix Junior akan berlumba menggunakan motor jenis yang sama, iaitu model poket 74 Daljiro yang diimport dari Jepun.

Selepas perlumbaan lima pusingan, empat pelumba teratas akan menerima penajaan penuh bagi mengikuti kelas kelolaan Honda/Yamaha manakala mereka yang lain dalam kalangan 10 terbaik akan mengikuti kelas itu dengan nilai tajaan lebih rendah.      

--BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video