Skip to main content

Tenis

Serena atasi Venus juarai Terbuka Australia

serena-thanks-inspiring-venus-after-historic-victory.jpg

Pertarungan sengit dua beradik Williams, Serena dan Venus, yang membawa misi peribadi tersendiri ke pentas akhir menyaksikan Serena lebih unggul untuk meraih kejuaraan Terbuka Australia di Melbourne Park, hari ini.

Penantian sekian lama Serena untuk mengatasi rekod legenda, Steffi Graf, berakhir dengan koleksi gelaran juara Grand Slam ke-23, kini kemas dalam dakapannya.

Banyak yang dipertaruhkan Serena di Melbourne kali ini, yang juga merupakan kejohanan major pertama buat musim 2017.

Begitu juga kakaknya, Venus, yang semakin ke penghujung kerjaya pada usia 37 tahun, dengan harapan kemungkinan pertemuan dengan adiknya di gelanggang yang sama ini membuahkan gelaran Grand Slam kelapan.

Apa yang pasti, Arena Rod Laver menyaksikan satu pertarungan epik dua beradik yang sudah sinonim mewarnai dunia tenis sejak hampir dua dekad lalu.

Berdasarkan momentum sejak beberapa tahun lalu, Serena tampil dengan aksi ampuh untuk kembali ke landasan tepat selepas tergelincir pada musim 2016, bermula dengan menguasai set pertama 6-4.

Namun, Venus yang belum putus semangat dalam memburu gelaran terbaru, membalas dengan tentangan sengit sehingga mampu menghadirkan gentar buat Serena yang begitu hampir ke garisan penamat.

Nyata kemahuan Serena mengatasi segala-galanya apabila fokus dalam meraih dua mata terakhir untuk akhirnya menamatkan penantian sejak tahun lalu untuk menjulang gelaran Grand Slam yang ke-23 buatnya.

Malah, kejayaan di Terbuka Ausralia ini kembali melonjakkannya ke ranking nombor satu dunia yang akan diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat.

Advertisement

Must Watch Video