Skip to main content

Sukan Lain

Serdang Angels kekal kejuaraan tahun kelima

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ragbi_1.jpg
Serdang Angels Universiti Putra Malaysia (UPM) tiada tandingan apabila memenangi kejuaraan buat kali kelima berturut-turut selepas membelasah UiTM Lions 30-12 dalam final Ragbi Super 8 Insititusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2018, semalam.

Serdang Angels menepati ramalan untuk mengungguli edisi 2018 bagi meraih gelaran juara buat kali kelima sejak tahun 2014.

Separuh masa pertama menyaksikan Serdang Angels mencatat empat try seawal minit ketiga dan satu conversion daripada Mohd Faizal Md Tahir pada minit ke-15 untuk berada di depan dengan 22 mata. 

Sedar ketinggalan, UiTM Lions cuba mengejar tetapi percubaan mereka sekadar berhasil menerusi satu try untuk meraih lima mata menerusi Luqman Nurhakim Hendry Dwisatrya sebelum tamat babak pertama. 

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Khairizal Ali Amat itu terus mengorak langkah untuk mengutip lima mata tambahan selepas Mohd Nurazman Ramli mencatat try pada minit ke-59 sebelum Faizal menoktahkan mata terakhir buat Serdang Angels menerusi penalti pada minit ke-77. 

Ternyata gandingan sembilan pemain kebangsaan yang membarisi pasukan tuan rumah itu cukup utuh bagi mengatasi UiTM Lions yang gagal merapatkan jurang apabila sekadar melakukan satu try dan sepakan conversion yang disempurnakan Mohd Faris Pead untuk menamatkan aksi dengan 12 mata.

Aksi final tahun ini mengulangi perlawanan dalam edisi 2016 yang menyaksikan UiTM Lions ditewaskan dengan keputusan 49-27 oleh juara bertahan itu. 

"Pertama sekali, barisan depan kami memainkan peranan penting apabila masuk ke kawasan lawan. Kami beraksi dengan penuh disiplin, dibantu oleh pemain-pemain di bahagian bawah," ujar Khairizal.

"Aksi final agak berbeza berbanding perlawanan peringkat kumpulan, di mana kami kehilangan dua tonggak utama akibat kecederaan dan masalah kecemasan. Kami dapat memberi saingan tetapi ketiadaan mereka merencatkan strategi pasukan," kata ketua jurulatih UiTM Lions, Muhammad Syahir Rasyidi.
 

Advertisement

Must Watch Video