Skip to main content

Sukan Asia

Sepak Takraw: Noraizat tidak gentar ancaman Pornchai

noraizat.jpg
Daripada seorang pemain acara chinlone, pemain paling muda dalam skuad sepak takraw negara, Noraizat Mohd Nordin, kini bertukar menjadi seorang perejam yang bakal mengibarkan cabaran Malaysia dalam Sukan Asia 2018.

Noraizat adalah antara muka baru yang dipertaruhkan oleh ketua jurulatih kebangsaan, Abdul Talib Ahmad.

Sebelum ini, dia beraksi bersama skuad chinlone dalam Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu dan berjaya meraih pingat gangsa dalam acara keempat (non repetition secondary), namun tugasnya kini berubah menjadi perejam untuk skuad regu berpasukan.

Walaupun baru berusia 19 tahun, Noraizat tidak gentar untuk berdepan barisan pemain Thailand yang ditunjangi perejam terbaik dunia, Pornchai Kaokaew, menjelang perlawanan pembukaan regu berpasukan esok.

"Sebenarnya, saya teringin berdepan Pornchai. Saya akan mencuba yang terbaik untuk Malaysia.

"Saya bersyukur kerana terpilih untuk beraksi dalam Sukan Asia. Terima kasih buat jurulatih serta doa daripada ibu-bapa saya," katanya.

Dalam masa sama, dia juga sudah lali dengan setiap kritikan negatif terhadap skuad sepak takraw negara dan bertekad mahu membuktikan persepsi umum adalah salah, sekali gus mengembalikan semula maruah Malaysia di pentas Sukan Asia.

"Saya rasa, mereka yang tidak mengetahui tentang sepak takraw hanya akan mengkritik. Saya akan buktikan mereka salah," ujarnya.
 

Advertisement

Must Watch Video