Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan, akui pihaknya akur dengan keputusan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) yang memuktamadkan penggunaan sistem kiraan 15 mata serta setiap regu hanya memperoleh satu servis.

PSM berpandangan bahawa sistem kiraan mata tersebut hanya akan memendekkan tempoh perlawanan sekaligus menghilangkan kepuasan kepada para penyokong.

Sumali turut memaklumkan PSM akan terus cuba untuk berbincang dengan pihak ISTAF bagi mengekalkan sistem kiraan 21 mata jika mempunyai ruang berbuat demikian pada masa akan datang.

Terdahulu pada Isnin, ISTAF menerusi mesyuarat jawatankuasa eksekutifnya yang bersidang 8 Disember lalu telah memutuskan untuk mengguna pakai sistem kiraan 15 mata yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Februari 2024.

"Kiraan 15 mata hanya akan memendekkan tempoh perlawanan sekaligus seni dan keunikan sepak takraw akan hilang dan dalam masa yang sama kepuasan para penyokong akan berkurang," ujar Datuk Sumali Reduan, Presiden PSM, menerusi Nadi Arena.