Skip to main content

Sukan

Selamat Hari Guru: Guru sukan, menatang bakat, membina watan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

hadafi.jpg
Guru merupakan tonggak utama dalam membentuk generasi masa hadapan. Dalam konteks pendidikan sukan dan jasmani, peranan guru menjadi lebih mencabar kerana mereka bukan sahaja mendidik dari segi ilmu, tetapi turut membentuk sahsiah dan kesihatan fizikal pelajar.

Guru sukan dan pendidikan jasmani memainkan peranan yang unik dan amat penting dalam usaha membentuk pelajar yang sihat tubuh badan, cergas minda dan berdisiplin tinggi. Amanah yang digalas oleh guru sukan bukan sekadar mengajar teknik dan teori, tetapi juga menjadi pencetus semangat kesukanan dan budaya hidup sihat dalam kalangan pelajar.

Guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan sering dianggap sebagai watak sampingan dalam dunia pendidikan, namun hakikatnya mereka memikul amanah yang amat besar dalam membentuk generasi sihat dan aktif. Mereka bukan sekadar mengajar pelajar berlari, melompat atau bermain bola, tetapi turut mendidik mengenai
kepentingan gaya hidup sihat, pemakanan seimbang, kesedaran kendiri dan nilai murni dalam kehidupan seharian.

Merekalah individu yang mula-mula memperkenalkan konsep kesihatan holistik kepada anak-anak sejak dari sekolah rendah lagi. Ini memerlukan kemahiran pedagogi yang tinggi, pengetahuan dalam pelbagai jenis sukan, serta ketahanan fizikal dan mental.

Peranan guru Pendidikan Jasmani juga amat penting dalam mencungkil bakat sukan di peringkat akar umbi. Ramai jaguh sukan negara hari ini lahir daripada bimbingan awal guru yang berwawasan dan berdedikasi tinggi. Mereka berkorban masa dan tenaga di luar waktu persekolahan untuk melatih pelajar, membawa pasukan bertanding, dan memastikan setiap bakat diberi peluang yang adil.

Guru seperti inilah yang menjadi batu asas kepada kejayaan atlet negara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Guru perlu membina hubungan rapat dengan pelajar serta sentiasa memberi motivasi agar mereka terus bersemangat dalam latihan dan pertandingan.

Tugas guru ini turut mencabar kerana mereka perlu menangani pelbagai isu seperti kekurangan kemudahan, sikap pelajar yang kurang minat, dan cabaran sistem pendidikan yang lebih menumpukan kepada pencapaian akademik.

Namun, guru Pendidikan Jasmani terus tabah memperjuangkan pentingnya keseimbangan antara pencapaian akademik dan kesihatan pelajar. Mereka percaya bahawa tubuh badan yang sihat merupakan prasyarat kepada minda yang cerdas dan emosi yang stabil.

Walaupun tiada penilaian peperiksaan akhir tahun, pelajar tetap ditatang bagai minyak yang penuh.

Selain itu, guru sukan turut berdepan dengan cabaran isu disiplin, kekangan masa kokurikulum, dan tekanan pencapaian akademik yang sering menjejaskan fokus terhadap pendidikan jasmani. Namun, mereka tetap berusaha memastikan pelajar memahami nilai-nilai murni seperti kerjasama, kejujuran dan semangat juang yang tinggi melalui aktiviti sukan.

Nilai-nilai inilah yang menjadi asas kepada pembentukan jati diri dan patriotisme pelajar. Ini menunjukkan bahawa peranan guru jasmani bukan lagi bersifat konvensional tetapi menuntut kecekapan dalam pelbagai aspek untuk kekal relevan dan efektif.

Masyarakat juga perlu membuka mata terhadap sumbangan besar guru sukan dan pendidikan jasmani. Mereka bukan sekadar “mengajar di padang” tetapi merupakan pemangkin utama kepada pembinaan modal insan yang sihat dan seimbang.

Justeru, pengiktirafan terhadap guru dalam bidang ini perlu dipertingkatkan sama ada melalui kenaikan pangkat, peluang latihan profesional atau ganjaran setimpal. Penilaian khusus perlu dilaksanakan kepada guru sukan. Kejayaan mereka melahirkan bakat sukan dan jaguh kebangsaan perlu di beri pengiktirafan.

Dalam konteks Dasar Sukan Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, guru sukan dan jasmani memainkan peranan yang amat penting dalam menyokong agenda negara membentuk rakyat yang aktif, berdisiplin dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Mereka adalah agen perubahan yang mampu mengubah landskap pendidikan sukan negara jika diberi sokongan dan kepercayaan sepenuhnya. Mereka juga pengesan bakat sukan yang pertama di peringkat akar umbi, untuk memimpin atlet muda berjaya sehingga ke peringkat tertinggi.

Kesimpulannya, guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan bukan lagi pelengkap cerita dalam dunia pendidikan, sebaliknya mereka adalah penggerak utama ke arah pembangunan insan yang menyeluruh.

Tanggungjawab mereka amat besar, bukan sahaja untuk melahirkan jaguh sukan negara, tetapi juga membentuk masyarakat yang sihat, berdisiplin dan aktif. Justeru, pengiktirafan dan sokongan sewajarnya perlu diberikan kepada mereka agar peranan penting ini terus dimartabatkan.

Akhir kata, Selamat Hari Guru kepada semua terutama guru sukan di Malaysia, menatang bakat, membina watan.

Disediakan oleh,
Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip
Pensyarah Kanan Sains Sukan UTM,
Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST UTM)

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video