Skip to main content

Sukan Lain

Rosakkan bilik persalinan, bintang golf Amerika diarah hadiri 'Anger Management'

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

wyndam.jpg
Kemarahan bekas juara gelaran utama di Terbuka AS tahun ini telah menyebabkan dia tidak dibenarkan untuk memasuki Oakmont Country Club (OCC) kerana tingkah lakunya yang merosakkan fasiliti venue tersebut.

Selepas keadaan yang mengecewakan di barat Pennsylvania, bekas pemenang Terbuka AS, Wyndham Clark, mengamuk di bilik persalinan -- memusnahkan pintu kepada dua loker di rumah kelab bersejarah itu.

Akibat tindakannya itu, presiden Oakmont CC, John Lynch, mengharamkan Clark daripada memasuki premis itu selepas berunding dengan Persatuan Golf Amerika Syarikat dan lembaga pengarah kelab.

Lynch menghantar surat kepada ahli kelab negara berprestij itu, memaklumkan keputusan itu.

Dalam surat itu, Lynch berkata bahawa larangan itu boleh ditarik balik jika Clark membayar ganti rugi, membuat 'sumbangan bermakna' kepada badan amal pilihan Oakmont, dan menjalani kaunseling dan/atau terapi pengurusan kemarahan.

Oakmont tidak menganjurkan satu lagi Terbuka AS sehingga 2033.

"Terdapat pihak yang memiliki pertanyaan tentang situasi melibatkan Wyndham Clark dan langkah yang diambil sebagai tindak balas terhadap tingkah lakunya baru-baru ini," tulis Lynch.

"Berikutan beberapa perbincangan dengan USGA dan Lembaga OCC, keputusan telah dibuat bahawa Encik Clark tidak lagi dibenarkan memasuki OCC.

"Keputusan itu kekal berkuat kuasa melainkan jika dipertimbangkan semula secara rasmi dan diluluskan oleh Lembaga Pengarah."

Clark, yang memenangi acara itu di Los Angeles CC pada 2023, terlepas pukulan selepas melepasi lubang terakhir pusingan kedua.

"Saya telah mengalami pasang surut dalam karier saya, terutamanya tahun ini," kata Clark.

"Saya membuat kesilapan yang amat saya kesali. Saya amat kesal dengan apa yang berlaku. Tetapi saya juga ingin meneruskan, bukan sahaja untuk diri saya tetapi untuk Oakmont, untuk USGA."

Ini bukan satu-satunya tindakan berang dilakukan Clark. Semasa Kejohanan PGA di Quail Hollow Club di Charlotte, Clark melepaskan kekecewaannya di lubang ke-16 kursus semasa pusingan kedua dengan memukul kayu golf memusnahkan papan iklan di lapangan.

Dalam satu kenyataan pada masa itu, Clark berkata, "Saya dengan ikhlas ingin memohon maaf atas kelakuan saya semalam di Hole 16. Sebagai atlet profesional, kami dijangka kekal profesional walaupun dalam keadaan kecewa dan saya malangnya membiarkan emosi saya mengatasi saya.

"Tindakan saya tidak wajar sama sekali, menjelaskan bahawa saya mempunyai perkara yang perlu saya usahakan. Saya mempunyai standard yang tinggi, cuba sentiasa bermain untuk sesuatu yang lebih besar daripada diri saya, dan semalam saya gagal mencapai standard tersebut.

"Untuk itu saya benar-benar minta maaf. Saya berjanji untuk memperbaiki cara saya menangani kekecewaan saya dan berharap anda semua dapat memaafkan saya pada masa yang sesuai."

Advertisement

Must Watch Video