Rejimen Askar Melayu (RMR) Warriors muncul juara liga super Liga Ragbi Perak 2019 yang berakhir sebentar tadi.
Warriors menumpaskan JKR Perak 17-12 dalam perlawanan akhir di Stadium Ragbi Perak, Ipoh sekali gus menebus kekecewaan gagal dalam final tahun lalu kepada King Edward VII, Taiping.
Advertisement
Dalam perlawanan itu, Warriors yang juga juara 2017, mendahului 12-0 pada babak pertama melalui try Azrul Azmi dan Amirul Farhan serta 'conversion Mohammet Noor Othman.
Babak kedua menyaksikan kebangkitan JKR yang merapatkan jurang kepada 7-12 melalui try Mohd Azrai Haikal dan conversion Mohd Shahrul Idham.
Tindakan JKR itu bagaikan mengejutkan RMR dari lena dan mereka melebarkan jurang melalui try Syafiq Razali tetapi gagal disepak masuk oleh Mohammet Noor untuk mata tambahan.
Selepas itu, giliran JKR melancarkan serangan bertalu-talu tetapi menghadapi kekentalan benteng RMR.
Walaupun akhirnya berjaya merapatkan jurang melalui try Mohd Zaki, ia ternyata sudah terlambat untuk menggugat RMR.
Dengan kejayaan itu, Warriors pulang dengan piala pusingan, piala iringan serta wang tunai RM1,000 manakala JKR meraih RM750.
Sementara itu, Pasukan Pembangunan Ragbi Perak menduduki tempat ketiga selepas membaham UTP Drillers 45-10.