SUKAN SEA
Rizzua mahu sambar tiket di Vietnam
Atlet 110 meter berpagar, Mohd Rizzua Haizad, bertekad menjadikan Kejohanan Terbuka Vietnam hujung bulan ini sebagai platfrom untuk mendapatkan tiket ke Sukan SEA selepas gagal melakukannya dalam Kejohanan Olahraga Grand Prix Malaysia, Mac lalu.
Misi Rizzua untuk layak lebih awal ke Filipina ketika itu tidak kesampaian selepas dia sekadar mencatatkan masa 14.42 saat.
Enggan lagi dipalit kegagalan, atlet berusia 22 tahun itu kini meningkatkan fokusnya dalam latihan bagi memastikan dirinya melepasi catatan ditetapkan, iaitu 14.10s, sekali gus membuat penampilan kedua selepas temasya Kuala Lumpur 2017.
Iklan
Atlet kelahiran Sarawak itu turut optimis mampu layak ke Sukan SEA bersandarkan kepada keadaan fizikal dirinya yang bebas daripada sebarang kecederaan.
"Kami akan beraksi dalam Terbuka Vietnam, ia merupakan peluang terbaik saya untuk layak ke Sukan SEA. Tahap kecergasan saya memberikan keyakinan untuk melakukan catatan masa yang terbaik," kata Rizzua.
Sementara itu, jurulatih 110 meter berpagar negara, Ithnin Mahadi, mahu anak-anak buahnya terlebih dahulu melepasi catatan yang ditetapkan sebelum dia merancang latihan seterusnya.
"Buat masa ini, masih tiada atlet yang layak ke Sukan SEA. Masa kelayakan 14.10s adalah sasaran setiap atlet yang mahu layak ke temasya dwitahunan itu," ujarnya.
Must-Watch Video