SUKAN ASIA 2018
Renang: Yhing Huey jadi penentu nasib Malaysia
Lee Yhing Huey akan menjadi penentu sama ada skuad renang berirama negara mampu mengatasi pencapaian terbaik tangga keenam dalam sejarah Sukan Asia apabila bergandingan dengan Gan Hua Wei dalam rutin bebas acara duet esok selepas Malaysia menghuni ranking kelapan rutin teknikal hari ini.
Yhing Huey akan dimasukkan dalam rutin bebas walaupun baru pulih daripada kecederaan bahu tatkala pengalaman perenang senior itu penting bagi menentukan adakah Malaysia mampu mengatasi pencapaian terbaik di tangga keenam dalam aksi di Guangzhou 2010 selepas ketinggalan lebih 11 mata di belakang Uzbekistan selaku ranking ketiga selepas tamat rutin teknikal.
"Bahu Zylane Lee melalui pembedahan, jadi dia hanya menyertai latihan selama dua bulan. Jika dia menyertai dua acara, pasti sukar buatnya," kata jurulatih negara, Long Yan.
Iklan
Rutin teknikal menyaksikan pasangan negara, Hua Wei dan Foong Yan Nie, beraksi baik walaupun melakukan penampilan sulung di pentas Sukan Asia apabila menghuni ranking kelapan dengan catatan 73.2032 mata.
Pujian harus diberikan buat Yan Nie yang tidak gugup walaupun mereka baru digandingkan sejak Mei lalu.
"Saya rasa memang cukup. Kami melakukan dengan baik pada hari ini dan segalanya bergantung kepada pihak juri. Kalau mereka lihat tidak bagus, kami harus usaha lagi," ujar Hua Wei.
"Perkara ini sesuatu yang subjektif, jadi semuanya terserah kepada juri kerana kami telah melakukan apa yang perlu," tambah Yan Nie.
Juara bertahan, China, menempatkan diri di ranking pertama menerusi 92.4101 mata, diikuti Jepun sementara Uzbekistan berada di tempat ketiga.
Must-Watch Video