Skip to main content

Sukan Asia

Renang: Welson, Jinq En tidak menyerlah dalam final

welson-sim_2.jpg
Welson Sim menamatkan saingan final renang 200 meter gaya bebas lelaki di tangga keenam di Pusat Akuatik, Gelora Bung Karno, sebentar tadi. ​

Welson, yang bermula perlahan dihimpit perenang China, Ji Xinjie, dan Naito Ehara.

Permulaan kurang baik itu menyaksikannya terlepas untuk mengatasi rekod kebangsaan 1 minit 47.26 saat yang dilakarnya dalam Sukan SEA 2017. 

Biarpun cuba menjelmakan kebangkitan pada penghujung saingan, ia sudah terlambat dengan catatan 1:47.66s untuknya menamatkan saingan dalam kelompok terbaik yang diungguli jaguh China, Sun Yang.

"Renangan kali ini lebih bagus berbanding pagi tadi. 

"Namun, pada pendapat saya, secara dasarnya ia langsung tidak bagus.

"Saya mungkin agak gemuruh dalam kalangan para pesaing ini tetapi ia bukanlah sehingga boleh menjejaskan saya. Saya berenang mengikut rentak sendiri. 

"Catatan yang dirakamkan bagus dan antara yang terbaik tahun ini. 

"Saya tiada masalah dengan keadaan kolam dan berharap dapat melakukan yang lebih baik beberapa hari lagi," Welson. 

Turut hampa, perenang wanita, Phee Jinq En, yang gagal menunaikan harapannya untuk mengatasi rekod kebangsaan (1:08.65s) apabila menyudahkan cabaran dalam final 100m kuak dada di kedudukan kelapan dengan catatan 1:09.01s.

Jepun menguasai emas dan perak manakala gangsa milik China. 

"Perasaan saya bercampur baur. 

"Saya berasa gembira tetapi dalam masa sama, gemuruh. Saya gembira dapat mara ke final.

"Saya tetap gembira dengan penyertaan pertama saya dalam Sukan Asia. 

"Saya perlu bersedia untuk acara seterusnya pada Selasa ini. 

"Kita tengoklah macam mana persembahan saya nanti namun saya berharap dapat melakukan yang lebih baik lagi," kata Jinq En. 
 

Advertisement

Must Watch Video