Skip to main content

Sukan Lain

Renang Terbuka Malaysia: Tiada rekod baru dicipta pada hari terakhir

welson-040517.jpg
Tiada sebarang rekod baru dicatat oleh barisan perenang negara pada hari terakhir Kejohanan Renang Terbuka Malaysia yang menyaksikan Welson Sim sekadar berpuas hati dengan satu pingat emas di Pusat Akuatik Hang Jebat, Melaka, hari ini.

Welson memenangi acara 1,500m gaya bebas lelaki selepas mencatat 15m 43.50s, mengatasi perenang dari India, Prakash Sajan, dengan perbezaan 6.52s dan Tanakrit Kittiya yang mewakili Thailand di tempat ketiga. 

Bagaimanapun, bagi acara 50m gaya bebas, perenang Sukan Olimpik Rio itu hanya menamatkan saingan di tempat keenam dengan catatan 23.99 saat -- keputusan yang sudah dijangkakannya.

"Saya tidak memberikan 100 peratus kerana badan saya berasa agak letih ketika sesi pemanas badan. Saya juga tidak bersedia sepenuhnya daripada segi mental untuk menghadapi acara itu," katanya.

Chan Jie dari Selangor meraih pingat emas bagi acara itu selepas mencatat 23.44s, yang merupakan rekod terbaiknya setakat ini apabila mengatasi 23.45s yang diciptanya sebelum ini.

Sekalipun gagal untuk memperbaharui rekod kebangsaan milik Alwyn Tan, Chan sudah berpuas hati dengan prestasinya yang semakin meningkat di mana dia meraih tiga pingat emas dalam kejohanan ini.

"Acara 50 meter adalah acara saya jika dipilih ke Sukan SEA. Catatan tadi merupakan masa terbaik saya," katanya.

Keith Lim, yang dijangka melakar kejutan dengan memecahkan rekod kebangsaan, bagaimanapun, tewas di tangan Chan untuknya merangkul pingat perak dengan catatan 23.45 saat. 

"Saya gembira kerana dapat menamatkan saingan dengan sahabat saya (Chan Jie), saya berpuas hati dengan saingan kali ini," kata Keith.

Advertisement

Must Watch Video