SUKAN LAIN
Renang Terbuka Malaysia: Kesakitan bahu tidak sekat emas Welson
Perenang negara, Welson Sim, menutup kempen Kejohanan Renang Terbuka Malaysia 2019 dengan keseluruhannya membutirkan empat pingat emas apabila yang terakhir diperoleh menerusi acara 1,500 meter gaya bebas di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
Welson turun sebagai pilihan utama selepas mengungguli acara 100, 200 dan 400 meter gaya bebas selain berjaya memecahkan rekod kebangsaan dan kejohanan.
Kuakan Welson menghadirkan pingat keempat buat dirinya dalam edisi kali ini, namun dia yang mewakili kontinjen Sarawak terus buntu dalam usahanya memecahkan rekod kebangsaan milik Jeffrey Ong yang bertahan sejak 28 tahun lalu, iaitu catatan 15:23.61s yang dilakukan dalam Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Sheffield, United Kingdom.
Iklan
Welson sekadar mencatat 16:08.90s yang menyaksikan perak milik perenang Wilayah Persekutuan, Sebastian Soon, sementara gangsa diraih Jayden Tan dari Selangor.
"Saya cuba memberikan renangan bertenaga dalam jarak 600m terakhir tetapi bahu saya kembali dihimpit kesakitan.
"Sebab itulah saya mengendurkan renangan," katanya.
Bagaimanapun, hasratnya untuk menambah satu lagi emas dalam acara 50m gaya bebas tidak kesampaian apabila mengakhiri saingan itu di tangga ketiga dengan catatan 23.72s.
Emas menjadi milik Iran menerusi Benyamin Gharehhassanloo dan perak pula diraih perenang India, Neel Roy.
Must-Watch Video