SUKAN LAIN
Renang Terbuka Malaysia: Andrew sahkan slot ke Kejohanan Dunia
Hari terakhir Kejohanan Terbuka Renang Kebangsaan menyaksikan perenang negara dari Selangor, Andrew Goh Zheng Yen, mencipta kejutan mengesahkan slot beraksi di Kejohanan Dunia.
Andrew berjaya memecahkan rekod kebangsaan 50 meter kuak dada 28.59 saat dengan catatan 28.10s menyaksikannya turut terkejut kerana pada permulaan dia hanya menumpu pada penampilan sulung di Sukan SEA.
Perenang berusia 19 tahun itu menamatkan saingan di tempat ketiga, di belakang juara dari Madagascar, Felix Viktor Iberle yang mencatat 27.60s diikuti wakil Nambia, Ronan Zuberg Wantenaar dengan catatan 27.87s untuk meraih tempat kedua.
Iklan
"Saya sangat gembira dengan kelayakan ke Kejohanan Dunia. Pada asalnya, saya memberikan tumpuan kepada saingan Sukan SEA terlebih dahulu," kata Andrew.
Manakala rakan senegaranya, Khiew Hoe Yean dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengakui keletihan menyertai banyak acara namun tetap berpuas hati terhadap kemampuannya menamatkan saingannya dengan meraih jumlah lima emas dua perak dan satu gangsa.
"Hari ini merupakan sangat sukar kerana telah menghadapi banyak acara. Ini merupakan sesuatu yang positif kerana ia membantu untuk meningkatkan daya tahan mental bagi menghadapi kejohanan akan datang," kata Hoe Yean.
Must-Watch Video