Skuad renang negara bagaikan tidak mengenal erti lelah apabila giat menjalani persiapan biarpun kempen Kejohanan Akuatik Piala Dunia di Singapura sudah berakhir Sabtu lalu.

Namun, perenang negara pantas mengalihkan tumpuan mereka kepada persiapan untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary, 10 Disember depan.

Olimpian renang negara, Khiew Hoe Yean, yang mencipta rekod kebangsaan baru dengan catatan 3:42.37 saat dalam acara 400 meter gaya bebas sambil menaruh harapan bahawa peningkatan prestasinya berterusan.


"Saya melakar 3:45:00 saat dalam sesi pagi jadi saya menyasarkan untuk memperbaikinya. Namun, bukanlah secara mendadak demi mencipta satu lagi rekod kebangsaan.

"Bermula minggu depan, saya akan memulakan latihan intensif dengan harapan untuk melakukan catatan terbaik peribadi -- tidak terhad kepada acara 400m gaya bebas malah dalam acara lain juga.

"Saya juga berharap rakan seperjuangan turut layak ke Kejohanan Dunia dan menimba pengalaman baru," katanya di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.