Skip to main content

Sukan Asia

Ragbi 7s: Malaysia perbaiki pencapaian di Incheon

ragbi.jpg
Skuad ragbi tujuh sepasukan negara memperbaiki prestasi di pentas Sukan Asia apabila menamatkan saingan di Indonesia di kedudukan kelima keseluruhan selepas menundukkan China 12-7, hari ini.

Kejayaan itu mengatasi pencapaian di Incheon empat tahun lalu apabila sekadar menduduki tempat kesembilan keseluruhan.

Berdepan China, ternyata Malaysia mengulangi persembahan cemerlang sewaktu bertemu Thailand dalam aksi sebelum itu, apabila meraih dua try menerusi Amalul Hazim Nasarrudin dan Muhammad Nasharuddin Ismail, serta satu conversion daripada Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi.

Bagaimanapun, China mempamerkan kebangkitan dalam babak kedua dan memaksa benteng negara bekerja keras apabila meraih satu try menerusi Ma Chong, namun Malaysia mengekang lawan untuk mengesahkan kemenangan 12-7.

Kemenangan itu mengubati kesedihan skuad negara selepas gagal mara ke separuh akhir, sekali gus meragut hasrat untuk bergelar empat pasukan terbaik dalam Sukan Asia.

"Daripada babak pertama, kami bermain dengan baik. Kami dapat menyerang lawan dan menghasilkan dua try tetapi separuh masa kedua menyaksikan kami agak kepenatan kerana China lebih banyak memegang bola," kata Azwan Zuwairi.
 

Advertisement

Must Watch Video