Skip to main content

Sukan SEA

PSM tambah dua pemain

atm-vs-pdrm.jpg
Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) membuat keputusan untuk menambah dua lagi pemain dalam senarai 24 pelatih sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Filipina, November depan.

Menurut presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail, apit kanan PDRM, Mohd Syukri Hassan, menjadi pemain terbaru dipanggil untuk menjalani latihan dalam kem kebangsaan.

Ahmad juga berkata barisan kejurulatihannya telah bersetuju untuk memasukkan tekong ATM, Tunku Noor Azwari Tunku Ishak, ke dalam skuad bimbingan Abdul Talib Ahmad itu.

"Ada permintaan daripada jurulatih untuk menyerap seorang lagi pemain, iaitu Syukri, kerana masih ada masa sebelum pendaftaran pasukan.

"Tunku Noor Azwari pula sebelum ini memang sudah berada dalam senarai dan kami melihat prestasinya dalam Piala Emas Khir Johari juga baik.

"Jadi, kami tambah dua pemain ini untuk latihan intensif sebelum jurulatih mengecilkan skuad kepada 18 pemain," jelasnya.

Sementara itu, Ahmad mengakui kecewa dengan tuan rumah, Filipina, yang mengehadkan negara bertanding untuk mengambil bahagian dalam dua daripada empat acara.

Kategori wanita pula menyaksikan hanya satu acara dibenarkan, sekali gus memberi tamparan kepada persiapan rapi yang sudah dilakukan PSM.

"Kami terpaksa akur dan perlu memilih sama ada akan bertanding dalam acara regu dan regu berpasukan, regu atau gelung.

"Belum masanya untuk umumkan sasaran pingat, namun saya berani menjanjikan kami mampu menghasilkan pingat sama warna (dengan dua tekong yang digugurkan)," jelas Ahmad.

Kredit foto: Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT)

Advertisement

Must Watch Video