Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah melibatkan Labosport dalam mempersiapkan padang Stadium Nasional Bukit Jalil bagi konsert Ed Sheeran yang akan diadakan pada 24 Februari ini dan perlawanan Kelayakan Piala Dunia Malaysia menentang Oman pada 26 Mac akan datang.

Sebagai langkah awal, PSM telah memindahkan rumput seluas 1900m2 bagi menempatkan pentas dan menara sistem audio mengikut tema “world tour” Ed Sheeran. Rumput yang telah dipindahkan kini diberi jagaan intensif termasuk pengairan dan pembajaan supaya kesihatan rumput berada pada tahap optimum.

Selain itu, PSM bersedia untuk menggunakan rumput dari tapak semaian, sekiranya perlu.

Tapak semaian sedia ada mempunyai keluasan rumput melebihi 2000m2 untuk menampung keperluan padang SNBJ.

Kerja-kerja membongkar peralatan daripada konsert akan dimulakan sejurus selepas konsert berakhir dan kerja di padang akan bermula dengan segera selepas itu.