Skip to main content

Hoki

PSAS 2017: Tempoh 40 hari Van Huizen dapatkan prestasi terbaik

stephen-040517.jpg
Ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, mempunyai tempoh kira-kira 40 hari untuk mengatasi masalah prestasi anak buahnya selepas Malaysia gagal mencapai sasaran kelompok empat pasukan terbaik Piala Sultan Azlan Shah 2017 selepas tewas 1-0 kepada New Zealand, malam tadi. 

Kekalahan ketiga di Stadium Sultan Azlan Shah itu bermakna The Malaysian Speedy Hockey Tigers gagal mencapai sasaran ditetapkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Semuanya serba tidak menjadi, terutama ketumpulan jentera serangan dan pukulan sudut penalti. 

Apa yang lebih mengecewakan, Malaysia pernah membelasah New Zealand 8-2 dalam aksi persahabatan, dua minggu lalu, namun keadaan begitu sukar di Ipoh.

"Kami berasa agak kecewa dengan kekalahan kepada New Zealand memandangkan kami pernah mengalahkan mereka dalam perlawanan ujian pertama dan meraih keputusan seri dalam aksi kedua. 

"Kami akui agak kecewa kerana gagal mencapai keputusan baik dalam kejohanan ini. 

"Bagaimanapun, kami telah mempamerkan aksi menarik dalam kejohanan ini cuma kami gagal mengekalkan konsistensi dalam beberapa detik tertentu," katanya. 

New Zealand, pasukan di ranking kelapan dunia, meledak gol tunggal perlawanan menerusi satu-satunya pukulan sudut penalti mereka yang disempurnakan oleh Kane Russel pada minit ke-25. 

Selepas itu, Malaysia melancarkan serangan bertali arus yang diketuai penyerang, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, Faizal Saari dan Shahril Saabah, namun gagal. 

Begitu juga dengan tujuh pukulan sudut penalti, termasuk satu yang sekadar menggegar palang. 

"Bukan mudah untuk berdepan Malaysia. Ada kalanya anda dapat menanganinya dengan baik, kadang kala tidak.

"Apa yang penting, kami berjaya mengelak daripada dibolosi dengan Richard Joyce dan Devon Manchester berjaya menampilkan aksi hebat. 

"Oleh itu, saya gembira," ujar jurulatih New Zealand, Darren Smith. 

Kekalahan ini bermakna Malaysia hanya akan beraksi dalam penentuan tempat kelima dan keenam biarpun mempunyai baki satu perlawanan peringkat liga. 

Advertisement

Must Watch Video