Skip to main content

Sukan Lain

Program Podium: Rumusan post-mortem ditangguhkan

shapawi.jpg
Usaha mendapatkan rumusan Program Podium terpaksa ditangguhkan apabila penganjur meminta persatuan sukan kebangsaan memberikan maklum balas selewat-lewatnya Selasa ini sebelum cadangan dihantar kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman.

Rumusan cadangan terpaksa ditangguhkan ekoran beberapa faktor, antaranya pegawai persatuan diminta memberikan maklum balas membabitkan 14 parameter seperti aspek komunikasi, sains sukan dan pengurusan yang diberikan program berkenaan sejak dua tahun lalu.

Ia penting bagi menilai keberkesanan program itu yang menyasarkan pingat emas sulung negara dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Setiap sukan memiliki penelitian yang berbeza. Jadi, kami memerlukan rumusan yang lebih lengkap bagi setiap kekuatan dan kelemahan yang dimiliki bagi semua sukan di bawah program ini," kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

"Kami berharap maklum balas yang terbaru akan diberikan kepada pihak urusetia sebelum ia diberikan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS)," kata Ketua Unit Program Podium, Dr P. Vellapandian.

Cadangan memindahkan sukan yang tidak terbabit dengan Olimpik Tokyo 2020 pula mendapat reaksi berbeza.

Justeru, maklum balas persatuan sukan akan menentukan keputusan majoriti sebelum cadangan dihantar kepada Syed Saddiq.

Sementara itu, Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Nik Razeen Adam Daud, menentang cadangan mengeluarkan sukan tidak terbabit dengan Olimpik Tokyo kerana ia akan menjejaskan moral atlet.

Tindakan terbaik ialah mewujudkan satu lagi program khas untuk membantu prospek emas Olimpik Tokyo seperti badminton, berbasikal, terjun dan karate.

"Kekalkan Podium tetapi lancarkan satu program khas untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020. Mengeluarkan beberapa sukan akan melunturkan semangat atlet yang bersaing untuk negara," kata Nik Razeen.

"Ia sangat penting buat kami. Buat masa ini, Program Podium ini membantu pasukan dalam usaha untuk berada dalam kelompok enam pasukan terbaik dunia," kata Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Terry Walsh.

"Ini merupakan maklum balas yang positif bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan matlamat utama, iaitu satu pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020," kata pemerhati sukan negara, Mohd Sadek Mustafa.
 

Advertisement

Must Watch Video