Skip to main content

Sepak Takraw

Program Podium: MSN terima tindakan disiplin PSM

pengarah-bahagian-atlet-msn,-jefri-ngadirin.jpg
Majlis Sukan Negara (MSN) seiring dengan keputusan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menggugurkan dua tekong tonggak daripada skuad kebangsaan di sebalik tuntutan menghadirkan pingat emas dalam Sukan SEA Filipina 2019, dari 30 November hingga 11 Disember depan. 

Penguguran Zulkifli Abdul Razak dan Syahir Rosdi daripada program negara mencetuskan sensasi.

Apatah lagi, mereka dikaitkan dengan isu disiplin selepas membantu Malaysia menamatkan kemarau emas menerusi acara regu dalam Sukan Asia 2018.

MSN menerusi mesyuarat pra-penilaian prestasi atlet 2019 di bawah Program Podium menerima laporan komprehensif daripada PSM dan persatuan-persatuan sukan lain yang akan dibentangkan kepada Menteri Belia dan Suka, Syed Sadiq Syed Abdul Rahman, bulan depan. 

"PSM mempunyai sebab kukuh dan kami telah meminta mereka untuk menulis surat kepada kami.

"Kami telah sedia maklum dengan kes ini dan ia telah dilaporkan di media, cuma dalam mesyuarat ini, kami bertanyakan lebih mendalam sebab-sebab tindakan yang diambil itu. 

"Kami telah mengambil kira pandangan mereka dan ia akan dimasukkan dalam laporan itu nanti," kata Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin, dalam Mesyuarat Pra-Penilaian Atlet Program Podium 2019 di Bukit Jalil, hari ini.

Sekalipun tanpa pengaruh dua tekong itu yang digantung daripada sebarang aktiviti membabitkan sepak takraw, PSM tetap akur dengan keperluan meyumbang emas dalam temasya Filipina 2019.

"Mereka boleh mendapatkan emas yang disasarkan dan kita akan nampak dengan lebih jelas lagi peluang negara sebaik pasukan lawan mengesahkan penyertaan," katanya lagi. 
 

Advertisement

Must Watch Video