Skip to main content

Sukan Lain

Program Podium: Khairulnizam yakin wibawa pakar tempatan

khairulnizam-mohd-afendy-pelayaran.jpg
Pelayar negara, Khairulnizam Mohd Afendy, mahu Program Podium diterajui pakar tempatan untuk meletakkan program berprestasi tinggi itu kembali di landasan yang betul menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Status pengarah Program Podium mencetus sensasi susulan peletakan jawatan Tim Newenham selepas berakhir Sukan Asia, Ahad lalu.

Ia berikutan kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran berada dalam kelompok 10 terbaik Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia Jakarta-Palembang.

Mewakili suara atlet negara, Khairulnizam berkata pengganti kepada Newenham kelak harus diberikan kepada pegawai tempatan untuk misi meraih pingat emas pertama negara dalam Sukan Olimpik Tokyo.

"Sejujurnya, saya lebih berminat dengan pakar tempatan kerana lebih senang untuk dibawa berbincang dan mereka lebih faham dengan apa yang kami perlukan.

"Kalau tenaga pakar dari luar, mereka sukar untuk menerima pandangan atlet selain sukar berganjak dengan keputusan yang dibuat.

"Saya pernah bekerjasama dengan pegawai dari luar tetapi beberapa bulan sebelum temasya, saya akhirnya menggunakan khidmat pegawai tempatan sepenuhnya," kata Khairulnizam. 

Newenham dalam laporan sebelum ini menganggap Dr. P. Vellapandian selaku ketua program itu antara yang layak untuk menggantikan posisinya selepas tugasnya berakhir secara rasmi, November depan.

Apapun, Khairulnizam selaku atlet pertama negara yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo berharap agar program sukan berprestasi tinggi itu dapat diteruskan sehingga 2020.

"Seperti yang dibuktikan dalam Sukan Asia, ia amat berguna buat sukan pelayaran kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

"Apabila kami menjalani program di luar negara yang melibatkan kos yang tinggi, Program Podium sedikit-sebanyak membantu kami. 

"Justeru, saya harap ia dapat dikekalkan," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video