Skip to main content

Sukan Lain

Program Podium bakal dikaji semula

syed-saddiq-syed-abdul-rahman,.jpg
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menegaskan Program Podium tidak akan dihentikan serta-merta, sebaliknya kajian semula akan dilakukan segera bagi menilai keberkesanan program latihan yang dirancang menjelang misi sebenar, Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ini susulan program berkenaan sekali lagi gagal memenuhi sasaran untuk berada dalam kelompok 10 terbaik dalam Sukan Asia 2018 selepas Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu.

"Saya tidak salahkan atlet, mereka telah berusaha keras. 

"Walaupun kita berjaya mencapai sasaran miniman dengan tujuh pingat emas, tetapi kita perlu ingat, sasaran Program Podium adalah menduduki kelompok 10 terbaik selain banyak wang telah dilaburkan," katanya dalam sidang akhbar berkaitan pencapaian kontinjen negara dalam Sukan Asia 2018 di kementeriannya, hari ini. 

Program Podium diambil alih sepenuhnya oleh Institut Sukan Negara (ISN) sebaik berakhirnya kempen Sukan Komanwel Gold Coast selepas memasuki tahun ketiga penubuhan.

Wujud cadangan mengenai kewajaran program sukan berprestasi tinggi itu dipindahkan semula ke Majlis Sukan Negara (MSN).

Sejak penubuhannya pada awal 2016 sehingga penyertaan atlet negara dalam Sukan Asia 2018, Program Podium sudah membelanjakan sebanyak RM67 juta.

"Keputusan besar seperti ini, saya mahu berbincang dengan kesemua pemegang taruh terlebih dahulu," ujar Syed Saddiq. 

Advertisement

Must Watch Video