Skip to main content

Sukan Lain

PKBM tetapkan syarat sertai Kejohanan Kebangsaan

pkb.jpg
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sudah mengkaji kalendar perlumbaan antarabangsa sebelum menetapkan syarat buat semua pelumba lebuh raya wajib menyertai Kejohanan Kebangsaan 29 Jun depan sebagai medan pemilihan ke Sukan SEA Filipina 2019.

Tindakan PKBM itu, bagaimanapun, dikhuatiri menjejaskan penyertaan pelumba lebuh raya yang sedang mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Perancangan sudah dilakukan agar kejohanan kebangsaan yang bermula dari Kuala Kubu Baru ke Bukit Fraser tidak bertembung dengan mana-mana perlumbaan antarabangsa.

Kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menyaksikan beberapa perlumbaan bertaraf tinggi bulan depan seperti di Perancis dan Switzerland.

Pasukan seperti Team Sapura Cycling (TSC) serta Terengganu Cycling Team (TSG) dijadual menyertai Tour De Philippines, namun tidak bertembung dengan Kejohanan Kebangsaan.

"Kami lihat apa sahaja perlumbaan yang disertai oleh pelumba-pelumba, sama ada kejohanan di bawah kelolaan UCI, mungkin kami boleh pertimbang. Namun, jika ia adalah kejohanan luar, kami akan menolak," kata Timbalan Presiden PKBM, Yunus Ibrahim. 

Sebelum ini, proses pemilihan pelumba ke sukan bertemasya kerap menimbulkan isu hingga PKBM perlu melakukan perancangan rapi atau sekali lagi menerima tamparan terhadap proses pemilihan pelumba yang dikhuatiri tidak sesuai dengan laluan perlumbaan.

Dalam saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, skuad lebuh raya meraih dua pingat emas.
 

Advertisement

Must Watch Video