Skip to main content

PJ City label kemenangan bermakna

jdt-pj-city.jpg
Ia hanya memerlukan sebuah kelab kecil yang baru beraksi buat kali pertama dalam kancah Liga Super, Petaling Jaya (PJ) City FC untuk mencalarkan rekod cemerlang gergasi selatan, Johor Darul Ta'zim (JDT), dengan kemenangan 1-0 dalam dalam aksi Liga Super, malam tadi. 

JDT lantang mahu memastikan musim ini ditamatkan dengan rekod bersih tanpa kekalahan biarpun sudah menggenggam kejuaraan lebih awal.

Namun, barisan bimbingan K. Devan itu masih memiliki resipi tersendiri untuk menundukkan tuan rumah hasil jaringan tunggal Washington Brando pada minit ke 64 untuk menghampakan impian juara enam kali Liga Super itu.

Dengan kemenangan itu juga, PJ City sudah melakar sejarah dengan memadamkan rekod cemerlang lawan yang gah tidak kalah dalam 82 perlawanan di kubu sendiri sejak 2013.

"Saya memang berpuas hati dengan prestasi kami pada malam ini (tadi), apatah lagi kami menghadapi pasukan juara.

"Apabila menentang pasukan juara dan menang di tempat mereka, ini kemenangan yang amat bermakna buat PJ City walaupun ini kali pertama kami bersaing dalam Liga Super," kata ketua jurulatih itu.

Sementara itu, penjaga gol PJ City, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi, menganggap usaha sepasukan sebagai titik tolak kepada kemenangan itu.

"Semua pemain telah menampilkan aksi yang baik," ujarnya.

Pengurus JDT, Luciano Figueroa, ternyata berang dengan kekalahan itu, namun enggan menjadikan faktor barisan pemain yang baru pulih daripada serangan wabak influenza sebagi punca utama.

Kali terakhir mereka menamatkan saingan Liga Super sebagai juara dengan rekod bersih tanpa kekalahan adalah dalam edisi 2016.

"Barisan pemain saya mampu beraksi dengan baik sekali tetapi malam ini, sebagai pasukan kami tidak melakukan tugas yang bagus. 

"Dalam situasi ini juga, kami juga mungkin boleh beraksi cemerlang tetapi kalah," katanya.

Sementara itu, menurut laman web Johor Southern Tigers, pasukan JDT akan diraikan dalam upacara sambutan kejuaraan Liga Super Malaysia kali keenam berturut-turut di Dataran Bandaraya Johor Bahru, Jumaat ini.

Pertunjukan bunga api yang menakjubkan dan persembahan lampu, lebih hebat dan lebih baik daripada tahun-tahun terdahulu, akan menemani juara ‘double hat-trick’ itu manakala gimik kejutan istimewa berkonsepkan elektronik akan menandakan satu lagi kejayaan kempen yang menyaksikan JDT meraih kejayaan “untouchable” dalam Liga Malaysia.



 

Advertisement

Must Watch Video