MALAYSIA 0 KOREA SELATAN 3
Skuad Hoki negara memulakan kempen Piala Sultan Azlan Shah 2022 dengan langkah sumbang selepas tewas 0-3 kepada Korea Selatan dalam aksi pusingan awal di Ipoh sebentar tadi.
Korea Selatan jelas pasukan yang lebih baik sejak dari wisel permulaan dan penguasaan mereka membuahkan hasil apabila Jang Jong-hyun menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-10.
Malaysia cuba meningkatkan permainan dalam suku kedua tetapi pasukan bimbingan Arul Selvaraj itu kian tertekan menuju ke waktu rehat apabila Kim Hyeon-hong menemui jaring Hafizuddin Othman menerusi satu lagi pukulan sudut penalti pada minit ke-30.
Pada ketika skuad negara galak mencuba memecahkan kebuntuan jaringan, kesilapan pertahanan menyaksikan Korea Selatan sekali lagi diberikan pukulan sudut penalti dan Jong-hyun tidak mensia-siakan peluang itu untuk mendapatkan gol kedua peribadi selepas tiga minit separuh masa kedua bersambung.
Dengan kekalahan itu, Malaysia kini menduduki tangga tercorot daripada enam pasukan menjelang pertemuan kedua menentang musuh tradisi, Pakistan, malam esok.
Keputusan lain:
Pakistan 1 Afrika Selatan 4
Jepun 1 Mesir 0
Muzaffar Musa
Tue Nov 01 2022