Skip to main content

Hoki

Piala Remaja TNB: SSTMI bawa bekalan selesa

sstmi.jpg
SSTMI 4 ANDERSON 2

Juara bertahan Piala Remaja TNB, SSTMI Thunderbolt, membawa kelebihan agregat selesa apabila membenam Anderson Thunderbolt 4-2 dalam separuh akhir pertama di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.


Bagaimanapun, aksi bermula dengan suku pertama yang hambar tanpa sebarang asakan menarik.

Corak permainan SSTMI berubah dalam suku kedua apabila Muhajir Abd Rauf membuka jaringan pada minit ke-19 sebelum Muhammad Amirul Hamizan menggandakannya pada minit ke-25.

Juara liga itu terus menghukum pertahanan Anderson dengan Muhammad Muhibuddin Moharan menemui sasaran pada minit ke-42.

Lima minit kemudian, Anderson merapatkan jurang menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Muhammad Fahmi Khalid.

Jaringan itu membangkitkan semangat Anderson untuk menambah satu gol lagi hasil jaringan Mohammad Syazwan Syafiq dalam suku keempat.

Bagaimanapun, semangat itu dimatikan pengadil, yang memberikan pukulan sudut penalti kontroversi kepada SSTMI pada penghujung permainan.

Syarman Mat Tee tidak mensia-siakan peluang itu untuk menjaringkan gol terakhir SSTMI

"Walau macam mana keadaan sekalipun, kami tetap bersyukur dengan perbezaan dua gol.

"Tetapi ia jelas bahawa pemain kami agak leka dan memberi ruang kepada pemain lawan untuk menjaringkan gol.

"Dengan kad-kad mudah yang mereka dapat, mereka akhirnya membuka ruang buat lawan menjaringkan gol dalam suku terakhir," kata jurulatih SSTMI, Wan Mohd Roslan Wan Abdul Rahman.

"Saya kecewa dengan prestasi pemain saya dalam separuh masa pertama.

"Namun, mereka bangkit semula dalam separuh masa kedua dan hampir mengikat perlawanan.

"Saya tidak boleh komen mengenai pengadil, namun ada yang merugikan pasukan saya," kata jurulatih Anderson, Mohd Nizam Hashim, pula.

Advertisement

Must Watch Video