Skip to main content

Hoki

Piala Remaja TNB: Anderson singkirkan juara liga, MBPJ

piala-tnb-remaja-130517.jpg
Juara Liga Hoki Remaja 2017, MBPJ Tigers, dikejutkan dengan kekalahan tipis 3-2 kepada Anderson Thunderbolt dalam aksi suku akhir Piala TNB, semalam.

"Kami belajar daripada kesilapan dan merangka satu taktik yang terbaik untuk menentang MBPJ kerana kami sedar, mereka adalah juara liga.

"Pemain saya mengikut taktikal yang dirancangkan dan akhirnya kami menang untuk mara ke peringkat separuh akhir," kata jurulatih Anderson, Mohd Nizam Mohd Hashim.

Turun sebagai tuan rumah, MBPJ lebih berkeyakinan, apatah lagi mereka mengatasi Anderson 3-1 dalam aksi liga, sebelum ini.

Begitupun, aksi awal saingan menyaksikan pelawat lebih tersusun dalam mencipta peluang dan hasilnya, kapten Anderson, Muhammad Najme Ahmad Hayazi, meletakkan pasukannya di depan seawal minit keempat menerusi gol padang.

MBPJ terpaksa menunggu hingga minit ke-20 untuk mengikat kedudukan apabila Muhammad Nur Asyraf Ishak bijak memanfaatkan pukulan sudut penalti.

Jaringan itu menyuntik semangat tambahan buat tuan rumah, lantas mereka bangkit dengan gol kedua, sekali lagi hasil pukulan sudut penalti Nur Asyraf pada minit ke-42.

Enggan mengalah, Anderson meningkatkan tempo permainan bagi mengasak kubu MBPJ.

Usaha itu membuahkan hasil apabila pukulan sudut penalti Muhammad Aiman Shahmi Marzuki menembusi gawang tuan rumah untuk kedudukan 2-2.

Muhd Aliff Ikhemal Zamri kemudian muncul wira Anderson dengan gol padang pada minit ke-51 bagi memastikan keputusan penuh 3-2 memihak kepada pasukannya untuk meneruskan kemaraan ke separuh akhir, esok.

"Kami mengakui MBPJ gagal mengulangi rentak seperti yang dipamerkan di peringkat liga.

"Mungkin mereka terlalu memikirkan tekanan selepas menjuarai liga.

"Walaupun mendahului 2-1 dalam suku ketiga, perkara yang sama berlaku, kami hilang fokus," jurulatih MBPJ, Hafizi Baharom.

 

Advertisement

Must Watch Video