Malaysia bakal menentukan gelaran regu Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai 2023 apabila mara ke final selepas menewaskan India 2-0, hari ini.

Perlawanan yang bermula rancak itu menyaksikan India memberikan tentangan yang cukup sengit untuk kedua-dua pasukan saling memungut mata demi mata sebelum Malaysia menutup set pertama 21-19.

Selepas itu, skuad kendalian Ahmad Jais Baharun yang dibarisi tekong, Muhammad Syahir Rosdi, Khairol Zaman Hamir Akbar (perejam) serta Amirul Zazwan Amir (apit kiri) tersebut tidak memberi banyak ruang buat lawan untuk memenangi set kedua 21-13 bagi mengesahkan slot ke final bertemu musuh tradisi, Thailand.

Perlawanan akhir akhir berlangsung di Korat pada jam 5 petang waktu Malaysia.

"Walaupun mata yang agak rapat dalam babak pertama, pemain negara masih mampu menyerap tekanan.




"Cuma daripada segi prestasi saya lihat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang perlawanan akhir, khususnya lambungan bola dan juga pertahanan ketika menerima bola pertama.

"Kalau ikutkan saya akan mengekalkan trio Khairol Zaman, Syahir dan Amirul Zazwan berdasarkan prestasi semasa dan lambungan bola Khairul Zaman yang lebih tekal.

"Apabila Azlan Alias diturunkan menentang China dalam perlawanan sebelah pagi, kami dapati lambungannya kepada Syahir tidak mencapai tahap tekal.

"Apa pun, semua pemain sentiasa bersiap sedia dan kami mungkin akan membuat beberapa pertukaran untuk perlawanan akhir esok," kata Ahmad Jais di Nadi Arena sebentar tadi.

Kategori berpasukan lelaki pula akan membuka tirai pada Jumaat ini sementara skuad kebangsaan diundi menentang Vietnam dan Indonesia.