Skip to main content

Futsal

Piala Futsal Malaysia: Firdaus puji kekuatan mental Selangor MAC

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

selangor-mac.jpg
Tonggak Selangor MAC, Firdaus Ambiah, menabik kekuatan mental rakan seperjuangannya apabila tetap berjaya menewaskan Selangor TOT United dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia Futsal walaupun tempang tanpa beberapa tonggak utama.

Membabitkan pemain seperti Khairul Effendi Baharin dan Syaifuddin Syukri, Selangor MAC, mencipta kemenangan sensasi 5-3 sekali gus melangkah ke pentas final dan bakal bertemu Pahang Rangers FC.

Khairul Effendi terpaksa diketepikan untuk pertemuan menentang Selangor TOT ekoran digantung satu perlawanan, manakala Syukri disisihkan akibat masalah kesihatan.

Ketiadaan dua pemain terbabit memberikan tekanan tambahan buat Selangor MAC untuk mengharungi aksi timbal balik itu selepas kedua-dua pasukan terikat 6-6 dalam aksi separuh akhir pertama.

Namun, barisan pemain Selangor MAC tetap memiliki kekuatan mental yang jitu apabila tetap berjaya menyingkirkan lawan dibantu jaringan Danial Dain, Azwann Ismail, Saad Sani, Akmal Yazadh dan Syahir Iqbal pada setiap babak perlawanan.

"Kami agak bergelut tanpa barisan utama pasukan bagaimanapun pemain yang diturunkan telah berusaha sehabis mungkin bagi memastikan ke final," kata Firdaus.

Bertemu Pahang Rangers, Firdaus berkata, "Ia adalah satu perlawanan sengit, kami akan cuba melakukan yang terbaik nanti."

Advertisement

Must Watch Video