Skip to main content

Sepak Takraw

Piala Emas Khir Johari: Kelantan A juara Kumpulan D

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

kelantan.jpg
Regu Kelantan A mengotakan janji menjuarai Kumpulan D apabila mudah mengalahkan regu Kedah A 21-13, 21-12 dalam perlawanan ketiga Piala Emas Khir Johari Ke-54 di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Kelantan A yang diwakili tekong berpengalaman, Noor Azman Abdul Hamid, bergandingan baik dengan apit kanan, Yuslie Jusoh, dan apit kiri negara, Aidil Aiman Zawawi, dan tidak menghadapi sebarang masalah menyingkirkan regu dari utara tanah air itu.

Pengurus Kelantan Warriors, Ahmad Shazwan Muhammad Hassan, bersyukur dengan kemenangan itu dan berharap pemainnya kembali fokus untuk menghadapi saingan pusingan kedua, pagi esok.

"Alhamdulillah, prestasi pemain semakin meningkat dan hajat untuk bergelar juara kumpulan sudah pun tercapai.

"Pagi esok, Kelantan akan turun menentang naib juara kumpulan H, Pahang A, dan kemenangan akan membawa kami ke suku akhir," katanya.

Ahmad Shazwan juga mengingatkan pemainnya supaya tidak memandang rendah keupayaan lawan kerana di peringkat kalah mati, semua regu akan memberikan persembahan terbaik.

"Pemain perlu sentiasa tenang dan jangan mudah memberikan mata kepada lawan."

Terdahulu, regu Kelantan B terpaksa akur tersingkir awal dalam saingan kali ini apabila kalah 2-0 kepada Perak B dan ATM A.

Advertisement

Must Watch Video