Kejayaan skuad sepak takraw negara di Piala Dunia ISTAF 2024 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa minggu lalu terus menjadi perbualan hangat, terutama selepas memecah dominasi Thailand menerusi kemenangan dalam acara regu dan double.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan, mengucapkan rasa syukur atas kejayaan fenomenal ini, di mana pasukan regu dan double negara berjaya menundukkan musuh tradisi, Thailand.
"Sambutan luar biasa yang diterima semasa peringkat suku akhir, separuh akhir, dan akhir sangat menggembirakan, dan saya tidak menjangkakan sokongan sebegitu hangat dari seluruh rakyat Malaysia," kata Datuk Sumali. "Saya terkejut melihat ramai yang bukan sahaja menonton di dalam stadium tetapi juga di luar stadium di mana layar besar dipasang."
Datuk Sumali turut berkongsi kegembiraannya mengenai 53 juta tontonan di semua platform yang menyaksikan perlawanan skuad sepak takraw negara. Kejayaan ini diraih di bawah kepimpinannya yang belum mencecah dua tahun.
"Saya telah memohon hak sebagai tuan rumah kepada ISTAF, dan Alhamdulillah, ia diterima baik," tambahnya. "Pemain perlu seimbang, seiring, dan mampu mengalahkan Thailand."
Beliau juga mengakui bahawa terdapat perbincangan yang intensif bersama jawatankuasa tertinggi, termasuk timbalan presiden dan kumpulan veteran sepak takraw, yang sentiasa memberikan idea untuk meningkatkan tahap permainan skuad negara.
"Saya berhasrat untuk mengadakan kejohanan di peringkat antarabangsa seperti Thailand yang mempunyai Kejohanan Piala Raja Thai setiap tahun. Kejohanan antarabangsa perlu diadakan supaya pemain kita mendapat lebih banyak pendedahan."
Datuk Sumali percaya, dengan mengadakan kejohanan antarabangsa secara konsisten, peminat dapat menyaksikan pemain beraksi di gelanggang sendiri, selain membantu melahirkan skuad pelapis yang mantap.
"Sudah 10 tahun kita tidak menganjurkan kejohanan antarabangsa. Selepas Piala Dunia ini, kita perlu ada kejohanan antarabangsa setiap tahun supaya kita mempunyai skuad pelapis yang kuat."
Beliau juga menekankan bahawa banyak aspek perlu diperbaiki dalam skuad negara, termasuk gandingan atau keserasian regu kedua dan ketiga serta faktor mental pemain.
"Sepak Takraw League (STL) adalah platform yang sangat ditunggu-tunggu dan disukai ramai. Ia memberi kematangan kepada pemain kerana mereka perlu bersaing dengan pemain import," jelasnya. "Kita juga perlu ada satu lagi kejohanan yang melibatkan pemain bawah 21 tahun."
Datuk Sumali menutup dengan harapan besar untuk tahun depan yang bakal menyaksikan dua kejohanan yang dinanti-nantikan, yang diharapkan dapat terus mengangkat martabat sepak takraw negara.
Azreena Faizal
Wed May 29 2024