Malaysia berpeluang untuk menamatkan kemarau 33 tahun tanpa kemenangan ke atas Thailand dalam acara regu berpasukan sepak takraw.

Pasukan negara akan berentap dengan seteru tradisi itu dalam perlawanan akhir Piala Dunia Sepak Takraw di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada jam 3 petang ini.

Kali terakhir Malaysia menewaskan Thailand dalam acara ini adalah pada Sukan SEA Manila 1991. Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan, mengakui cabaran ini sukar tetapi percaya ia tidak mustahil.

Dia berharap pemain dapat mempamerkan aksi terbaik mereka dan mengharapkan tuah berpihak kepada Malaysia untuk mencipta sejarah baru dalam sukan sepak takraw negara.

"Misi kita adalah untuk menamatkan penantian 33 tahun ini. Kali ini kita harap dapat mencipta sejarah tersebut," katanya.

Malaysia mara ke final setelah mengalahkan Indonesia 2-0 dalam perlawanan separuh akhir malam Sabtu.

Sumali juga menyatakan akan berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengenai ganjaran untuk pemain.

"Bonus pasti ada. Insya-ALLAH saya akan bincang dengan menteri mengenai bonus untuk semua pemain yang telah mengharumkan nama negara di pentas dunia," tambahnya.

Thailand melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan Korea Selatan 2-0 dalam satu lagi. -- Sinar Harian