Skip to main content

Sukan Lain

Piala Dunia FIT Touch: Malaysia intai peluang lakar kejayaan

fittouchmas.jpg
Skuad FIT Touch kebangsaan mengintai untuk melakar kejayaan apabila menentang pasukan-pasukan Asia dalam Piala Dunia FIT Touch Ke-9 walaupun ini kali pertama beraksi di peringkat ini.

Pengarah FIT Touch Malaysia, Bryan O'Connor, berkata kejohanan ini merupakan ujian pertama kepada pasukan Malaysia untuk meletakkan sasaran mereka dalam sukan ini.

“Secara jujur, jika skuad negara boleh bersaing dengan negara-negara Asia yang lain, maka itu akan menjadi ujian pertama mereka. Mereka akan beraksi menentang pasukan-pasukan dari Asia yang jauh lebih berpengalaman seperti Jepun dan Singapura.

"Terdapat negara-negara baharu seperti Taiwan, Hong Kong, China dan Timur Tengah. Mereka mempunyai pasukan yang kuat tetapi kami perlu bersaing. Saya berharap skuad negara boleh menentang dan bersaing secara sihat," kata O'Conner yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Bersama Piala Dunia FIT Touch 2019.

Malaysia akan diwakili oleh tiga pasukan, iaitu pasukan lelaki 40, pasukan campuran dan pasukan wanita.

Malaysia telah diberi hak penganjuran Piala Dunia FIT Touch edisi kesembilan buat julung kali yang dijadualkan dari 29 April hingga 4 Mei ini di Taman Ekuestrian Putrajaya (TEP).

Seramai 2,400 peserta yang mewakili 26 negara akan bersaing untuk meraih gelaran juara dunia.

Sementara itu, pasukan campuran kendalian jurulatih, Mohd Ehsan Manan, yang dianggotai oleh sembilan pemain lelaki dan tujuh pemain wanita (16 keseluruhan pasukan), kebanyakannya terdiri daripada pemain dari pasukan Piala Dunia 2015 di Australia.

Memiliki pasukan yang boleh dikatakan agak kuat, Ehsan meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya berakhir di kedudukan ke-14 dunia.

"Pasukan campuran kami pertama kali beraksi, namun saya yakin mereka mampu berlawan dengan baik. Sasaran saya sekurang-kurangnya menang dua daripada lapan perlawanan peringkat kumpulan terlebih dahulu dan berada di ranking ke-14 dunia.

"Perjalanan latihan mereka agak lancar, kami mulakan sesi latihan pada bulan November tahun lepas. Kami mengumpul 25 pemain bermula dari Februari, namun hanya 16 pemain akhir dipilih untuk kejohanan Piala Dunia ini," katanya.

Pasukan campuran negara akan memulakan aksi 29 April ini menentang Samoa dan New Zealand.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video